Dasar Program Gmail

Dasar Program di bawah digunakan pada Gmail. Dasar ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan pengalaman yang positif untuk semua pengguna Gmail.

Kami perlu mengekang penyalahgunaan yang mengancam keupayaan kami untuk menyediakan perkhidmatan ini, jadi kami menghendaki setiap orang mematuhi dasar di bawah bagi membantu kami mencapai matlamat ini. Setelah kami dimaklumkan tentang kemungkinan pelanggaran dasar, kami mungkin menyemak kandungan itu dan mengambil tindakan, termasuk mengehadkan atau menamatkan akses pengguna kepada produk Google. Jika akaun anda dilumpuhkan dan anda percaya hal ini merupakan satu kesilapan, sila ikut arahan di halaman ini.

Kami boleh mengambil tindakan pada akaun yang melebihi had kuota storan. Contohnya, kami boleh menghalang penghantaran atau penerimaan mesej jika anda melebihi kuota storan anda. Kami juga boleh memadamkan kandungan daripada akaun anda jika anda gagal mengurangkan storan atau gagal mendapatkan storan tambahan yang mencukupi. Baca lagi tentang kuota storan di sini.

Pastikan anda menyemak semula dari semasa ke semasa kerana dasar ini mungkin berubah. Sila rujuk Syarat Perkhidmatan Google juga untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Laporkan penyalahgunaan

JIka anda percaya sesuatu akaun telah melanggar Dasar Program kami, terdapat beberapa cara untuk melaporkan hal ini:

  • Untuk penyalahgunaan umum, gunakan borang ini
  • Untuk tingkah laku memperdaya kanak-kanak, gunakan borang ini
  • Untuk pelanggaran hak cipta, gunakan borang ini

Ketakaktifan Akaun

Gunakan produk untuk kekal aktif. Aktiviti termasuk mengakses produk atau kandungan produk sekurang-kurangnya setiap 2 tahun. Kami boleh mengambil tindakan pada akaun tidak aktif, yang mungkin termasuk pemadaman mesej anda daripada produk. Baca lagi di sini.

Spam dan Mel Pukal

Jangan gunakan Gmail untuk mengedarkan mel spam atau mel komersial yang tidak diminta.

Anda tidak dibenarkan menggunakan Gmail untuk menghantar e-mel yang melanggar Akta CAN-SPAM atau undang-undang antispam yang lain; menghantar e-mel tanpa kebenaran melalui pelayan terbuka pihak ketiga; atau mengedarkan alamat e-mel orang lain tanpa persetujuan mereka.

Anda tidak dibenarkan mengautomatikkan antara muka Gmail untuk menghantar, memadamkan mahupun menapis e-mel dengan cara mengelirukan atau memperdaya pengguna.

Jangan lupa bahawa takrifan anda berhubung mel “tidak diminta” atau “tidak diingini” mungkin berbeza daripada tanggapan penerima e-mel anda. Gunakan pertimbangan anda apabila menghantar e-mel kepada ramai penerima, meskipun penerima itu telah memilih untuk menerima e-mel daripada anda. Apabila pengguna Gmail menandai e-mel sebagai spam, mesej yang anda hantar pada masa hadapan berkemungkinan tinggi turut dikelaskan sebagai spam oleh sistem antipenyalahgunaan kami.

Penciptaan dan Penggunaan Berbilang Akaun Gmail

Jangan membuat atau menggunakan berbilang akaun untuk menyalahgunakan dasar Google, melangkaui had akaun Gmail, memintasi penapis atau juga menjejaskan sekatan pada akaun anda. (Contohnya, jika anda telah disekat oleh pengguna lain atau akaun Gmail anda telah dilumpuhkan kerana penyalahgunaan, jangan buat akaun pengganti yang menjalankan aktiviti serupa).

Anda juga tidak dibenarkan membuat akaun Gmail dengan cara automatik atau membeli, menjual, mendagangkan atau menjual semula akaun Gmail kepada pihak lain.

Perisian hasad

Jangan gunakan Gmail untuk menghantar virus, perisian hasad, cecacing, kecacatan, kuda Troy, fail rosak atau sebarang item lain yang bersifat memusnah atau memperdaya. Selain itu, jangan edarkan kandungan yang merosakkan atau mengganggu pengendalian rangkaian, pelayan atau prasarana lain milik Google atau pihak lain.

Penipuan, Pancingan Data dan Amalan Mengelirukan yang lain

Anda tidak boleh mengakses akaun Gmail pengguna lain tanpa kebenaran yang jelas daripada mereka.

Jangan gunakan Gmail untuk memancing data. Jangan mengumpan atau mengumpulkan data sensitif, termasuk tetapi tidak terhad kepada kata laluan, butiran kewangan dan nombor Keselamatan Sosial.

Jangan hantar mesej untuk menipu, mengelirukan atau memperdaya pengguna lain agar berkongsi maklumat atas dalih yang dibuat-buat. Ini termasuklah menyamar sebagai orang, syarikat atau entiti lain dengan niat untuk menipu atau memperdaya.

Keselamatan Kanak-kanak

Google mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap imejan penderaan seksual kanak-kanak. Jika kami mendapat tahu tentang kandungan sedemikian, kami akan melaporkannya kepada National Center for Missing and Exploited Children (Pusat Kebangsaan untuk Kanak-kanak Hilang dan Dieksploitasi) seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. Kami mungkin turut mengambil tindakan disiplin, termasuk penamatan, terhadap Akaun Gmail milik mereka yang terlibat.

Google melarang tindakan memperdaya kanak-kanak menggunakan Gmail, iaitu hal yang ditakrif sebagai siri tindakan yang bertujuan untuk mewujudkan perhubungan dengan kanak-kanak itu bagi mengurangkan kesekatlakuan kanak-kanak tersebut sebagai persediaan untuk penderaan seksual, pemerdagangan atau eksploitasi lain.

Jika anda percaya terdapat kanak-kanak dalam bahaya atau yang telah mengalami penderaan, eksploitasi atau diperdagangkan, hubungi penguat kuasa undang-undang setempat anda dengan segera.

Jika anda sudah membuat laporan kepada penguat kuasa undang-undang tetapi masih memerlukan bantuan atau anda bimbang terdapat kanak-kanak yang sedang atau telah diancam menggunakan Gmail, anda boleh melaporkan tingkah laku itu kepada Google menggunakan borang ini. Jangan lupa bahawa anda boleh menyekat sesiapa sahaja yang anda tidak mahu dihubungi melalui Gmail pada bila-bila masa.

Hak Cipta

Hormati undang-undang hak cipta. Jangan melanggar hak harta intelek pihak lain termasuk paten, tanda dagangan, rahsia perdagangan atau hak proprietari lain. Anda juga tidak dibenarkan menggalakkan atau mendorong pihak lain melanggar hak harta intelek. Anda boleh melaporkan pelanggaran hak cipta kepada Google dengan menggunakan borang ini.

Gangguan

Jangan gunakan Gmail untuk mengganggu, menakut-nakutkan atau mengugut orang lain. Sesiapa yang didapati menggunakan Gmail untuk tujuan ini mungkin akan dilumpuhkan akaunnya.

Aktiviti Haram

Pastikan undang-undang dipatuhi. Jangan gunakan Gmail untuk menggalakkan, mengatur atau melibatkan diri dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.